TV9 terbit Akademi Nasyid

2 Mei 2008
Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN
fadzilah.bahar@utusan.com.my


Bukhari Che Muda (berdiri, empat dari kiri), Fadzliniza Zakaria (berdiri, tiga dari kanan) bersama-sama kumpulan Rabbani dan Yusof Kopratasa (berdiri, kiri) pada sidang media Akademi Nasyid baru-baru ini.

BERSEMPENA sambutan ulang tahun keduanya, TV9 tampil dengan sebuah lagi program realiti televisyen baru berjudul Akademi Nasyid (AN).Sejajar dengan pendekatan kemelayuan dalam kebanyakan program terbitannya serta imej Islamik yang ditonjolkan, TV9 mahu mencungkil bakat-bakat baru dalam genre nasyid yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana stesen televisyen lain.

“Banyak stesen televisyen mencari bakat bagi penyanyi-penyanyi lagu berbentuk pop, rock, balada dan macam-macam lagi. Tapi kami di TV9 ingin memberi peluang dan ruang yang lebih luas kepada genre nasyid.

“Ini kerana ramai beranggapan nasyid ini muzik lama dan sempit tetapi sebenarnya nasyid ini universal,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif TV9, Bukhari Che Muda pada sidang media program tersebut yang diadakan di Sri Pentas TV3, Bandar Utama, baru-baru ini.

Menyambung perbualannya, Bukhari berkata, AN kelak bakal menampilkan 10 peserta yang akan bertanding dalam akademi tersebut.

Lebih menarik lagi AN menyaksikan persaingan di antara peserta solo dan berkumpulan atas satu pentas.

Menyuarakan perkara tersebut seakan-akan tidak adil kerana peserta solo terpaksa bersaing bersama yang berkumpulan, terang Bukhari: “Tidak berlaku perkara tersebut kerana apa yang kita lakukan ini untuk mendapatkan lebih banyak lagi bakat terbaik dalam bidang nasyid.

“Solo atau berkumpulan masing-masing ada keistimewaan tersendiri jadi yang terbaik pasti akan berjaya menggondol hadiah utama,” ujarnya.

Menyentuh formatnya pula terang Penerbit Eksekutif AN, Fadzliniza Zakaria, 50 peratus markahnya ditentukan oleh juri profesional manakala 50 peratus lagi ditentukan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton.

AN bakal bersiaran bermula 21 Jun ini pada setiap Sabtu pukul 8.30 malam dan merupakan sebuah program mingguan yang akan disiarkan secara langsung.

CabaranBercerita lanjut mengenai AN jelas Fadzliniza, setiap minggu pastinya ada cabaran dan tugas yang akan diberikan kepada para peserta.

“Mereka semua akan diberikan tugas atau cabaran pada setiap minggu. Setiap minggu para peserta akan diberi tema untuk dinyanyikan dan tema tersebut merupakan satu cabaran kepada mereka,” katanya lagi.

Malah sama seperti program realiti televisyen yang lain, pada setiap minggu pastinya berlaku penyingkiran.

“Hanya pada minggu pertama sahaja tiada penyingkiran, sebab kita mahu mereka membiasakan diri dahulu dalam akademi. Tapi pada minggu kedua dan seterusnya kita sudah mula lakukan penyingkiran,” jelasnya.

Memandangkan AN merupakan sebuah program realiti televisyen pastinya tidak akan lari daripada kejutan. Cuma menurut Falzliniza, bagaimana kejutan yang akan ditampilkan dalam AN belum ditentukan lagi.

Sementara itu penonton juga berpeluang untuk menyaksikan diari peserta AN pada setiap Sabtu pukul 12.30 tengah hari.

Uji bakatPenyertaan AN terbuka kepada lelaki dan wanita berumur dari 18 tahun sehingga 35 tahun. Bagi yang berkumpulan penyertaan terhad kepada lima orang dalam satu kumpulan.

Namun AN memberi peluang juga kepada penyanyi-penyanyi nasyid yang sedia ada untuk mencuba nasib menyertai AN.

Anggota kumpulan Rabbani, Raihan, Hijjaz, Yusof Kopratasa antara juri yang terlibat semasa uji bakat tersebut yang akan bermula 3 Mei ini.

Ditanya kepada Bukhari, tidakkah penyertaan daripada para artis kelak akan menutup peluang kepada peserta-peserta baru, jelas Bukhari: “Kita tak tutup peluang kepada bakat-bakat baru. Meskipun kita bagi peluang kepada artis nasyid yang mempunyai album untuk terlibat tapi kita ada syaratnya.

“Jika mereka tampil solo tak mengapa, tapi jika mereka mahu tampil berkumpulan, dalam satu kumpulan kita hanya hadkan kepada lima peserta. Jadi dalam lima orang itu kita hanya benarkan dua peserta sahaja artis yang selebihnya mestilah bakat-bakat baru,” jelas beliau.

Menyentuh mengenai hadiah pula kata Bukhari, pemenang bakal membawa pulang wang tunai dan juga kontrak rakaman album.

“Kita masih belum boleh memberitahu jumlah wang tunai yang akan ditawarkan kerana kita masih lagi dalam proses perbincangan. Insya-Allah ia akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya lagi.

Published in: on May 2, 2008 at 3:44 am Leave a Comment

The URI to TrackBack this entry is: http://akademinasyid.wordpress.com/2008/05/02/tv9-terbit-akademi-nasyid/trackback/

RSS feed for comments on this post.

Leave a Comment